Pages

Sunday 8 June 2014

Johor Lancar Pelan Induk Pelancongan 2014-2023




Kerajaan negeri Johor melancarkan Pelan Induk Pelancongan sebagai usaha memacu industri pelancongan negeri itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelan yang dibangunkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Johor itu memberi nafas baharu dalam usaha mempromosi dan memasar produk dan perkhidmatan pelancongan Johor dengan lebih efisien."Kita mahu pelancongan negeri ini sebagai yang berimpak tinggi. Sebab itu kita bangunkan pelan ini menerusi kekuatan pelancongan yang ada di setiap daerah di negeri ini," katanya berucap pada pelancaran Pelan Induk Pelancongan Johor 2014-2023 dan 'Explore Johor Fest' 2014, di Lapangan Terbang Antabangsa Senai, di Kulaijaya, Jumaat.Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Koperasi dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong.Mohamed Khaled berkata pelan berkenaan dibahagikan kepada 11 kluster termasuk warisan, gaya hidup dan beli-belah dan akan menjadi rujukan utama jabatan, agensi dan penggerak-penggerak pelancongan bagi peningkatkan industri pelancongan.Beliau berkata Johor amat kaya dengan alam semula jadi, namun ini perlu ditambah nilai dalam usaha merealisasikan kehadiran 4.5 juta pelancong tahun depan berbanding 2.9 juta tahun lepas.Katanya, Johor tidak boleh sekadar berbangga dengan beberapa projek mega seperti Johor Premium Outlets, Taman Tema Puteri Harbour, Pinewood Studio dan Legoland, sebaliknya perlu memberi keseimbangan antara kehendak penduduk tempatan dan antarabangsa."Melihat contoh Maldives, ia mempunyai kekuatan destinasi pelancongan. Mengapa mereka berupaya melakukannya? Maldives dikenali sebagai negara kelas ketiga daripada segi ekonomi tetapi ia mempunyai produk pelancongan kelas pertama," katanya.Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata untuk menjadi magnet pelancongan global, Johor memerlukan produk mempunyai identiti dan nilai tersendiri supaya mampu menjana ekonomi sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.Katanya, yang mustahak ialah nilai dan kualiti pelancongan Johor dapat dikongsi rakyat negara ini dan menangkis tanggapan bahawa Johor hanya sekadar laluan penghubung untuk pelancong ke Singapura.

No comments:

Post a Comment